Tiga keluarga pelatih PDK Satok terima sumbangan

KUCHING: Sempena Hari Gawai Dayak tahun ini, Ronald McDonald House Charities Malaysia bekerjasama dengan Skuad Bantu Lah Rakyat (BLR), R.S Management & Transport Services dan Will Global Trading menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pusat Kebajikan Datuk Amar Juma’ani, PDK Satok pada Jumaat lalu.

Seramai tiga keluarga pelatih dari pusat tersebut menerima sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Pengerusi Skuad BLR, Datuk Wan Abdillah Edruce dan mewakili Pengurus Besar RMHC Malaysia Mohd Nasri Mohd Nordin, Konsultan Operasi kawasan Kuching, Shadan Ismail.

Antara penerima tersebut ialah Wilson Rait, 30, yang mempunyai masalah pembelajaran dan penghidap penyakit buah pinggang serta menjalani dialisis di rumah.

Kedua ahli keluarga kepada arwah Aeril Damian Philip, meninggal dunia disebabkan kanser tulang, diwakili oleh ibunya Lydia Bayea, dan penerima ketiga Audrey Edwin, 20, pelatih sindrom down.

Sumbangan berupa makanan dan hamper daripada McDonald Malaysia (McDonald’s Metro City) dan RMHC Malaysia sementara pemilik francais McDonald’s Tabuan Jaya, Roger Ting menghulurkan sumbangan wang tunai.

Pengurus Besar Ronald McDonald House Charities Malaysia Mohd Nasri Mohd Nordin berkata, melalui sumbangan tersebut ia diharapkan dapat memberi sokongan kepada keluarga yang mempunyai anak-anak istimewa, terutama mereka yang menyambut Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri.

“Melalui usaha ini kita dapat berkongsi bersama-sama keceriaan dan kegembiraan sambutan Gawai-Raya dalam kalangan keluarga mahupun penjaga untuk anak-anak istimewa ini.

“Menerusi bantuan ini ia dapat membantu terutamanya dalam kalangan penjaga individu OKU yang memerlukan kos penjagaan kesihatan yang agak tinggi.

“Ia diharapkan dapat meringankan beban mereka selama ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Bagi Datuk Wan Abdillah Edruce, usaha berkenaan merupakan satu kesinambungan kepada program sambutan Hari OKU tahun lalu dan pihaknya juga akan terus memberi sokongan terhadap pelbagai program serta sambutan untuk membantu golongan OKU, penjaga mereka serta keluarga.

Difahamkan program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pengerusi Special Education Integration Programme Students, Sentul Utama & Influencer, Lyna Doll, dan anaknya Aliff Al-azim Qusainy Abdullah, dari Outsome Privilege Sunway Putra Mall Kuala Lumpur, Duta Autisme untuk program Autisme di Kuala Lumpur.

Suara Sarawak