Tiga kematian akibat Covid-19 di Sarawak hari ini

KUCHING: Tiga kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Sarawak hari ini, melibatkan kes jangkitan di Sibu.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bemcana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan, ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negeri ini meningkat kepada 61 kes.

JPBNS berkata, kes kematian ke-59 merupakan kes ke-3,966 iaitu melibatkan seorang wanita warga tempatan (Sarawak) berusia 52 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu kerana masalah kesukaran bernafas, sebelum disahkan positif pada 28 Januari lalu.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 13 Februari.

“Kes juga mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis, dan kegagalan fungsi buah pinggang,” katanya.

Sementara, kes kematian ke-60 merupakan kes ke-4,303 melibatkan seorang wanita warga tempatan (Sarawak) berumur 73 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu kerana masalah kesukaran bernafas, dan disahkan positif pada 29 Januari lalu.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 13 Februari,” katanya sambil menambah kes juga mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung.

Manakala, katanya kes kematian ke-61 merupakan kes ke-1,822 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 63 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu kerana masalah kesukaran bernafas dan dikesan positif pada 13 Januari lalu.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 13 Februari.

“Kes juga mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan dislipidemia. Dimaklumkan juga kes ini adalah daripada Kluster Pasai,” katanya.