ARTIKEL

Tiga kes penipuan pembelian dalam talian tidak wujud dilaporkan di Miri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Pihak polis telah menerima tiga laporan berasingan berkaitan kes penipuan berkaitan pembelian dalam talian tidak wujud di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata pihaknya kini sedang melakukan siasatan ke atas ketiga-tiga kes berdasarkan laporan yang telah dibuat.

Katanya, bagi kes pertama, mangsa merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa Cina dan berumur sekitar 40-an yang telah memuat naik hantaran di Facebook untuk mencari nombor pendaftaran kenderaan yang dikehendakinya.

“Mangsa kemudian dihubungi suspek melalui Facebook Messenger yang memaklumkan dia memiliki nombor pendaftaran kenderaan tersebut, dan setelah berbincang, mangsa bersetuju membeli nombor pendaftaran kenderaan tersebut dengan harga RM2,000.

“Oleh kerana terpedaya, mangsa telah membuat pembayaran transaksi ke dalam sebuah akaun yang diberikan oleh suspek melalui pindahan dalam talian semasa berada di sekitar daerah Miri.

“Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah membuat semakan kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri dan mengesahkan nombor pendaftaran kenderaan tersebut tidak didaftarkan di dalam sistem,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kes kedua pula, Alexson berkata mangsa juga merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa Cina berumur 20-an yang menjadi mangsa penipuan urusan jual beli mata wang China dalam talian.

Katanya, mangsa pada mulanya telah melihat iklan di Facebook berkenaan penjualan mata wang China (RMB) yang dikatakan boleh dimasukkan ke dalam E-Wallet AliPay miliknya.

“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui WhatsApp dan kemudian berbincang berkenaan penukaran mata wang tersebut, dan mangsa telah bersetuju untuk menukar Ringgit Malaysia (RM) bernilai RM2,000 kepada RMB.

“Kemudian mangsa telah membuat pembayaran transaksi ke sebuah akaun yang diberikan oleh suspek melalui pindahan dalam talian semasa berada di sekitar daerah Miri.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila pelbagai alasan diberikan oleh suspek setelah pembayaran mata wang dilakukan, dan kemudian mangsa tidak dapat lagi berhubung dengan suspek kerana telah disekat olehnya,” jelasnya.

Sementara itu, bagi kes ketiga pula, ia melibatkan urusan jual beli emas secara dalam talian, dan mangsa merupakan seorang wanita iaitu seorang suri rumah sepenuh masa berumur sekitar 40-an.

“Menurut mangsa, beliau telah menerima mesej melalui aplikasi Facebook Messenger berkenaan penjualan rantai emas yang murah dan tulen.

“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek dan berbincang untuk membeli rantai yang dijual oleh suspek, serta kemudiannya berminat untuk membelinya dengan harga RM120 termasuk penghantaran.

“Sebanyak lima kali transaksi pembayaran telah dibuat oleh mangsa ke dua akaun berbeza yang diberikan oleh suspek melalui pindahan dalam talian semasa berada di sekitar daerah Miri sehingga mengalami kerugian sekitar RM2,000.

“Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila suspek tidak dapat dihubungi lagi setelah mangsa enggan membuat pembayaran lagi,” katanya.

Susulan itu, Alexson berkata, siasatan dijalankan ke atas ketiga-kes kes berkenaan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, berserta sebat dan denda jika disabit kesalahan.

BERITA LAIN

Projek pembangunan giat dijalankan di sekitar Debak

SARIBAS: Beberapa pembangunan di kawasan sekitar Daerah Kecil Debak telah dipergiat bagi memastikan kawasan tersebut terus menikmati kemajuan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)