KUCHING: Tiga kes positif Covid-19 dikesan di daerah Kuching hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak meningkat kepada 1,045 kes.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketiga-tiga kes tersebut dikesan melalui pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang telah dilaporkan sebelum ini.
“Kes ke-1,043 adalah rakan sekerja dan mempunyai kontak rapat dengan kes 1,040 dan 1,042. Kes ini telah disaring pada 16 November lalu melalui pengesanan kes secara aktif di tempat kerja di Demak Laut oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).
“Kes ke-1,044 adalah ahli keluarga serumah dan kontak rapat kepada kes ke-1,043. Kes ini dikesan melalui pengesanan kontak rapat dan kes ini telah membuat pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19 pada 17 November lalu di sebuah klinik kesihatan kerajaan setelah mula mengalami gejala batuk dan demam pada 16 November,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, bagi kes ke-1,045, ia melibatkan rakan serumah dan rakan sekerja serta kontak rapat kepada kes ke-1,040.
“Kes ini dikesan melalui pengesanan kontak rapat dan dimasukkan ke pusat kuarantin sebelum membuat saringan pada 17 November lalu.
“Ketiga-tiga kes ini adalah lelaki warganegara tempatan yang berumur dalam lingkungan umur 22 hingga 25 tahun dan telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut,” jelasnya.
Menurut beliau, kes-kes ini sedang dalam siasatan lanjut dan pengesanan kontak-kontak lain kepada kes ini juga sedang giat dijalankan.