KUCHING: Tiga kluster baharu diisytiharkan hari ini melibatkan pasar dan tempat kerja masing-masing di Daerah Kuching, Subis dan Bintulu.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kluster Pasar Stutong 2 melibatkan pasar besar komuniti yang terletak di Jalan Stutong, Tabuan Jaya.
“Seramai 51 orang termasuk kes indeks didapati positif hasil saringan seramai 140 orang manakala 89 individu lagi didapati negatif.
“Kesemua kes positif telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak dan PKRC di daerah Kuching,” kata JPBN.
Manakala jawatankuasa itu berkata Kluster Mega Suai di Daerah Subis melibat tempat kerja di sebuah ladang kelapa sawit yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Daerah terbabit.
Katanya, seramai 24 orang termasuk kes indeks telah didapati positif wabak Covid-19 sementara 327 individu masih menunggu keputusan.
Tambah JPBN, kesemua kes positif ini telah dirujuk ke Hospital Miri dan PKRC Daerah Miri untuk pengasingan dan rawatan lanjut.
Sementara kata JPBN, Kluster Jalan Kemena Estate 38 di Daerah Bintulu merupakan satu kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan kuarters pekerja sebuah kilang papan lapis
di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Daerah terbabit.
Menurutnya, seramai 85 orang telah disaring dan didapati 17 orang termasuk kes indeks positif manakala 68 orang masih menunggu keputusan.
Kesemua kes positif telah dirujuk ke Hospital Bintulu untuk pengasingan dan rawatan lanjut kata jawatankuasa itu.
Dalam perkembangan yang sama, Kluster Jalan Tasik Biru By-Pass telah diisytiharkan tamat hari ini.
JPBN menjelaskan, tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam
tempoh 28 hari yang lepas melibatkan kluster ini.
Setakat hari ini, sebanyak 84 kluster masih aktif dan 76 kluster tidak mencatatkan sebarang penambahan kes baharu.