KUCHING: Sarawak akan beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekiranya negeri dapat memenuhi tiga kriteria utama yang telah ditetapkan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, kriteria tersebut meliputi jumlah kes Covid-19 dalam seminggu, jumlah penggunaan katil dan kemudahan di unit rawatan rapi serta kadar vaksinasi.
Kata Kui Hian, dari segi kes jangkitan Covid-19 semasa, ia menunjukkan penurunan kebelakangan ini.
Meskipun Sarawak melaporkan 406 kes baharu Covid-19 pada Jumaat, jelasnya, 108 kes yang dilaporkan adalah dari pusat tahanan dan bukan kes jangkitan dari kalangan komuniti.
Oleh itu, katanya jumlah tersebut tidak diambil kira sebagai sebahagian dari jumlah kes Covid-19 berdasarkan pada kriteria.
“Oleh itu saya berharap, hari ini dan esok kes akan terus turun. Saya berdoa agar minggu hadapan kita dapat beralih ke fasa kedua.
“Sarawak bersedia memasuki fasa kedua PPN sekiranya jumlah kes terus berkurangan dan memenuhi segala kriteria yang terdapat pada fasa kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke program jangkauan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di gelanggang bola keranjang SJK Chung Hua, Batu 10, di sini hari ini.