Tiga lagi kluster dikesan di Sarawak

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan tiga kluster baharu hari ini iaitu masing-masing satu di Miri, Telang Usan dan Tatau.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN berkata, ia adalah Kluster Quadruplex Lapan Enam (Miri), Kluster Kevok (Telang Usan) dan Kluster Jalan Baru Tatau- Bintulu (Tatau).

“Kluster di Miri merupakan kluster komuniti hasil pergerakan sosial dan kontak rapat di beberapa unit rumah flat yang terletak di kawasan perumahan Permyjaya, Miri.

“Sejumlah 61 individu telah disaring, 20 daripadanya dikesan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

JPBN menambah, Kluster Kevok juga kluster komuniti melibatkan sebuah penempatan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Long Kevok, Telang Usan dengan sejumlah 58 kes positif.

“Bagi Kluster Jalan Baru Tatau-Bintulu , ia merupakan kluster tempat kerja melibatkan kuarters pekerja sebuah syarikat yang telah diletakkan di bawah PKPD dan sebanyak 22 kes telah dikesan positif,” ujarnya.

JPBN turut memaklumkan sebanyak 98 kluster masih aktif dengan 14 kluster merekodkan 193 penambahan kes, manakala 84 kluster tiada kes baharu.

Suara Sarawak