Tiga lelaki dicekup ketika leka pecah rumah

KUCHING: Tiga lelaki warga tempatan yang sedang leka melakukan pecah rumah di sebuah kediaman berhampiran Jalan Stutong Baru diberkas polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, suspek berjaya ditahan setelah cuba melakukan pecah rumah kali kedua terhadap kediaman sama pada hari kejadian.

Menurutnya, kejadian diketahui hasil pemeriksaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) khas yang berada di sekitar kawasan berkenaan.

“Hasil tinjauan pertama pasukan rondaan polis (MPV) mendapati suspek berjaya melarikan diri sebelum ketibaan pihak polis yang membuat pemantauan pada jam 2 pagi.

“Ketiga-tiga suspek seterusnya memasuki semula kawasan tersebut sekitar jam 4.20 pagi dan akhirnya berjaya dikepung pasukan polis ketika cuba melarikan diri,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek masing-masing berusia 21 hingga 28 tahun kini ditahan reman dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Kuching untuk tindakan lanjut.

Dedahnya, hasil semakan rekod lampau mendapati dua daripadanya pernah ditangkap atas kesalahan dadah dan curi.

Turut dirampas, peralatan yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah berkenaan.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Ujarnya, kes kini masih lagi dalam siasatan polis.