
KUCHING: Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamat tiga orang lelaki ketika mandi-manda di Sungai Rayu, Matang, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian telah diterima pihaknya kira-kira jam 2.47 petang tadi.
Susulan itu katanya, Bomba telah menggerakkan sembilan anggota, jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi.

Mangsa pertama katanya yang belum diketahui identiti berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum tenggelam dan dalam keadaan sedar.
“Manakala mangsa kedua, 20, dijumpai tidak sedarkan diri, tidak jauh dari mangsa pertama dan terus dihantar ke hospital oleh orang awam,” katanya sambil menambah status terkini mangsa, berjaya diselamatkan.
Tambahnya, mangsa ketiga juga berjaya dijumpai oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“Mangsa dibawa ke hospital menggunakan kenderaan awam sebelum bertembung dengan pihak bomba yang sedang dalam perjalanan ke lokasi.
“Mangsa diserahkan kepada pihak EMRS bomba untuk rawatan awal dan seterusnya ke hospital,” katanya.
Beliau berkata, mangsa ketiga berumur 24 tahun itu masih dalam pemantauan pihak Hospital Umum Sarawak (HUS).