Tiga lelaki disyaki penagih dadah diberkas

KUCHING: Tiga lelaki disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah diberkas Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padawan hasil serbuan dua tempat berasingan, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata seorang suspek ditahan di Kampung Haji Baki manakala dua daripadanya ditahan di sebuah premis kawasan Batu 7, Kota Sentosa.

“Serbuan pertama pada jam 3.15 petang berjaya menahan seorang lelaki dan hasil pemeriksaan terhadap dompet dalam genggaman tangan kanan suspek menjumpai satu plastik berisi dadah jenis Syabu seberat 0.36 gram.

“Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Dedahnya, suspek yang juga mengaku terlibat dadah pada awal tahun 2018 kini telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952.

Sementara itu, tambahnya dua lagi suspek berjaya diberkas hasil serbuan pada 5.15 petang di sebuah premis di Batu 7.

Katanya kedua-dua suspek ketika serbuan sedang duduk di meja premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di bawah meja tempat duduk suspek menjumpai satu beg kecil berisi lima peket plastik lutsinar berisi dadah jenis Syabu seberat 4.13 gram bernilai sekitar RM620.

“Kedua-dua suspek turut disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine hasil ujian awal air kencing yang dilakukan,” jelasnya.

Tegas Aidil, kedua-dua suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(a) ADB 1952.

Susulan kejadian, ujarnya ketiga-tiga suspek yang ditahan akan ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Suara Sarawak