Tiga lelaki disyaki terlibat dadah ditahan di Bau

BAU: Tiga lelaki termasuk dua warga asing disyaki terlibat dadah ditahan bersama empat laras senapang angin dan seunit panah silang hasil di sebuah rumah di kawasan Kampung Serikin, pada Rabu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, DSP Tumar Lunya berkata operasi serbuan telah dijalankan pasukannya sekitar jam 10.30 malam hasil maklumat risikan mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, hasil awal serbuan berjaya menahan tiga lelaki masing-masing berusia 18 sehingga 36 tahun di lokasi kejadian, di mana dua daripada suspek merupakan warga Indonesia.

“Pemeriksaan awal menjumpai satu peket plastik berisi sepeket plastik lutsinar dan 13 keratan tiub straw berisi dadah jenis syabu seberat 2.86 gram yang dianggarkan bernilai RM500.00 berada di atas meja.

“Turut dijumpai, empat laras senapang angin, 1000 butir peluru dan seunit panah silang bersama sembilan batang anak panah di lantai rumah serbuan,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

SENJATA… Polis turut merampas kesemua senjata jenis senapang angin dan seunit panah silang beserta 100 butir peluru dan sembilan anak panah

Tambahnya, kesemua suspek dan barang rampasan seterusnya di bawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah(BSJND) Bau untuk siasatan lanjut.

Dedahnya, hasil saringan air kencing turut mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Susulan itu, katanya kesemua suspek kinintelah ditahan reman selama empat hari bagi siasatan lanjut dilakukan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Jika Sabit kesalahan, suspek boleh dihukum denda RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” ujarnya.

Suara Sarawak