Tiga lelaki disyaki terlibat penyalahgunaan dadah ditahan

PADAWAN: Tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan, semalam.

Ketiga-tiga suspek dicekup ketika duduk di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Lorong 2 Taman Abadi Segedup Batu Kawa kira-kira jam 10.45 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong mengesahkan tangkapan melibatkan suspek berusia 19, 36 dan 43 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas satu beg silang berwarna hitam yang dipakai salah seorang suspek menemui sepeket plastik lut sinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.08 gram.

“Hasil soal siasat awal suspek mengaku mengambil bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Tauke’ secara bank in.

“Suspek bagaimanapun tidak mengaku dadah yang dirampas itu adalah kepunyaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut ke atas dua lagi suspek tidak menjumpai barang-barang yang menyalahi undang-undang.

Katanya, ketiga-tiga subjek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padawan untuk tindakan lanjut. Hasil soal siasat katanya, salah seorang daripada suspek mengaku telah terlibat dengan aktiviti penagihan dadah sejak lapan bulan yang lepas.

Ujarnya, ketiga-ketiga suspek akan direman sehingga 12 Jun di Mahkamah Majistret Kuching bagi melengkapkan siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suara Sarawak