KUCHING: Tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 41 tahun ditahan polis selepas dipercayai mencuri kabel di Kampung Siol Kandis, Petra Jaya semalam, sebelum membawanya ke sebuah rumah di kampung berdekatan untuk dipotong kecil.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, ketiga-tiga suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, kira-kira jam 11.20 pagi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 pagi apabila suspek dipercayai memotong kabel menggunakan alat pemotong sebelum mengheretnya dengan motosikal ke sebuah rumah di kampung berdekatan.
Alexson berkata, hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, manakala saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mancha Anak Gubak di talian 019-5958260 atau Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444,” katanya.


