
KUCHING: Kegiatan pecah rumah dan curi di perumahan Lorong 3A, Sungai Maong Tengah gagal apabila tindakan tersebut dihidu pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah memberitahu, tiga orang lelaki berjaya ditangkap di tempat kejadian hasil daripada laporan penduduk setempat pada 5 Febuari lalu.
“Kesemua suspek berusia 30 sehingga 39 tahun itu ditangkap semasa masih berada dalam rumah tersebut selain gagal mengemukakan pengenalan diri.
“Sementara, salah seorang daripada suspek dikenal pasti mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dengan kes dadah dan kes curi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, turut dirampas peralatan yang digunakan dalam kegiatan pecah rumah seperti pemotong, tukul ,parang panjang, barang perhiasan serta wayar.
Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati kesemua suspek telah melakukan sekurang-kurangnya dua kes pecah rumah di kawasan perumahan sekitar Kuching sekitar jam 2 hingga 5 pagi.
Kesemua suspek ditahan reman dibawah seksyen 117 kanun keseksaan selama tujuh hari bermula 7 sehingga 13 Febuari ini untuk tindakan lanjutnya.
Kes diklasifikasikan di bawah seksyen 457 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara shingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya serta di bawah seksyen 6 (1) akta bahan-bahan kakisan dan letupan dan senjata berbahaya 1958.