KUCHING: Tiga lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka melanggar sebatang pokok di Jalan Bako.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 6.39 petang semalam.
Katanya siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki ketiga-tiga mangsa warga tempatan berusia 24, 26 dan 28 tahun itu bergerak dari arah bandar Kuching menuju ke Bako dan telah hilang kawalan di selekoh lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar pokok di atas pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan, pemandu serta dua penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Mayat ketiga-tiga mangsa telah dikeluarkan oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahsmon berkata mayat kesemua mangsa juga telah dibawa ke Bahagian Forensik HUS untuk bedah siasat.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, beliau memohon saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuching atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Ardy Azwin Jamain di talian 0168129617.
