Tiga lelaki tempatan berjaya dicekup atas kes pecah rumah

BINTULU: Polis berjaya menyelesaikan satu kes pecah rumah dan curi di sekitar Daerah Bintulu serta satu kes curi kenderaan yang dilaporkan hilang di Daerah Miri dengan penangkapan tiga lelaki tempatan, awal tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata kesemua saspek ditahan Pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu yang diketuai Inspektor Nixon Malang.

Katanya, semasa rondaan pasukan Task Force terbabit telah terserempak dengan sebuah kenderaan Perodua MyVi dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan RPR SPPS Sebiew, berdekatan dengan Tadika St Anthony, di sini.

Selepas memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa kepada tiga lelaki yang berada di dalam kenderaan salon berkenaan, ketiga-tiga saspek cuba melarikan diri.

Namun, dua saspek berjaya ditangkap manakala , seorang lagi saspek berjaya ditangkap dengan bantuan orang awam di sebuah kediaman di Lorong A9, RPR SPPS Sebiew apabila gagal melarikan diri selepas terjatuh dari bumbung rumah berkenaan.

Manakala, seorang lagi saspek berjaya ditangkap dengan bantuan orang awam di sebuah kediaman di Lorong A9, RPR SPPS Sebiew apabila gagal melarikan diri selepas terjatuh dari bumbung rumah berkenaan.

Kesemua saspek tanpa pengenalan diri dipercayai merupakan penduduk tempatan ditahan dan hasil pemeriksaan di dalam kenderaan serta badan saspek, pihak polis merampas barang seunit komputer riba jenama Asus berwarna putih, alat pengecas komputer riba jenama Innergie, beg tangan warna hitam
jenama Prada Milano, jam tangan jenama E Classic , masing- masing seunit telefon bimbit jenama ZTE warna hitam dan Samsung, 37 keping kad sim Hotlink, kunci kereta, jam tangan jenama Rolex dan sebuah kenderaan salon Perodua MyVi.

Semakan ke atas kenderaan yang dinaiki saspek, mendapati ia dilaporkan hilang di Tanjung Lobang, Miri, baru-baru ini.

Kesemua saspek ditahan reman bermula 29 Ogos sehingga 5 September ini dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh yang boleh sampai 14 tahun bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan penjara dengan denda atau sebatan.

RAMPAS… Antara barangan yang dirampas daripada tiga lelaki tempatan di RPR SPPS Sebiew, awal tengah malam tadi.

Suara Sarawak