Tiga mercu tanda baharu Dalat

DALAT: Tiga mercu tanda baharu di Daerah Dalat iaitu Taman Solidariti Dalat, Tebingan Dalat Fasa 2 dan BazaarNita Fatima bakal dirasmikan Disember ini oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada 12 Disember.

Manakala Tebingan Dalat Fasa 2 dan Bazaarnita Fatima Dalat pula dijadual dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 19 Disember ini.

Sehubungan itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Taman Solidariti Dalat yang siap dibina itu bertemakan konsep semangat perpaduan dan keharmonian penduduk di kawasan Dalat.

“Ia juga merangkumi elemen rekaan yang melambangkan unsur-unsur kekitaan dan semangat bersatu dalam masyarakat Dalat yang berbilang kaum dan agama.

“Manakala BazaarNita Fatima direka khas untuk membantu dan memperkasa golongan wanita terutama usahanita Dalat selain menggalakkan penglibatan wanita serta membantu usahanita menambah pendapatan isi keluarga.

“Bangunan tersebut akan dihiasi 183 terendak Melanau (Tapou) dalam pelbagai saiz dan warna hasil gabungan kreativiti pengusaha baru dan lama yang dikenali sebagai The Tapóu Ladies of Kpg. Tanam, Dalat,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya, pengindahan Kawasan Tebingan Dalat Fasa 2 diluluskan menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 pada 2017.

“Projek tersebut mula dilaksanakan pada 22 Jun 2018 dan siap sepenuhnya pada 9 Oktober lalu dengan kos RM4.3 juta untuk mengindahkan kawasan tebingan sungai yang melibatkan beberapa struktur.

“Setiap struktur unik yang dibina sinonim dengan Daerah Dalat antaranya benteng, menara pemerhati tiga tingkat, atap menyerupai pokok rumbia, jubin direka khas, panel menyatakan sejarah tebingan itu serta sejarah regata Dalat dan sebagainya,” katanya lagi. Fatimah berkata, pada hari perasmian kelak, beliau akan melawat tapak Rumah Belanga Kampung Balan, Dalat dan disusuli dengan sesi perbincangan dengan Jabatan Pertanian Daerah Dalat.

“Projek Rumah Belanga berjumlah RM80,000 di bawah Peruntukan Tabung Fasilitasi Pertanian (AFF) Jabatan Pertanian tersebut diluluskan oleh Datuk Amar Douglas masa perasmian AgriCOP Dalat lepas,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak