Tiga nyaris maut

SARIKEI: Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah nasib tiga lelaki yang nyaris maut dalam kemalangan antara sebuah lori dan dua buah motosikal di Jalan Bukit Sebangkoi, pagi tadi.

Mangsa yang masing – masing berusia 22 hingga 53 tahun itu bagaimanapun bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan ringan.

Sehubungan itu, Ketua Balai Bomba Sarikei, Mahmudin Naruddin berkata, Bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati ada kesan tumpahan minyak di atas jalan akibat daripada kemalangan kendiri yang melibatkan sebuah lori yang membawa muatan buah sawit dengan dua buah motosikal, ” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit hilang kawalan sebelum merempuh sebuah motosikal di hadapannya yang melalui laluan sama.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan lori berkenaan terbalik.

“Sebuah lagi motosikal merempuh lori tersebut dari arah belakang apabila penunggangnya tidak sempat memberhentikan kenderaannya.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sarikei untuk rawatan susulan.

Sehubungan itu, kita juga melakukan pemantauan dan pembersihan bagi memastikan laluan tersebut selamat untuk dilalui kenderaan lain,” jelasnya.

 

 

 

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Semangkoi, pagi tadi.