Tiga pasukan uji Kuching

TIGA buah pasukan di Semenanjung Malaysia akan menguji kekuatan skuad Kuching FA pada Februari depan.

Pasukan tersebut ialah Selangor 2, UKM FC dan pasukan daripada Liga M3 2020.

Selangor 2 dan UKM FC turut bersaing dalam Liga Premier 2020.

Ia merupakan persiapan kompetitif pramusim terakhir buat Kuching FA sebelum mengibar cabaran Liga Premier 2020, menentang UKM FC di Stadium Negeri pada 29 Februari depan.

Sekarang ini, anak-anak buah Ideris Untong telah pun memasuki persiapan fasa akhir dengan fokus lebih kepada pemantapan stamina, taktikal dan strategi.

Dua import asing telah pun dikenal pasti untuk menambah kekuatan sedia ada.

Leo Alves, 30, dari Brazil bakal menerajui jentera serangan, manakala Akira Higashiyama akan membentuk kekuatan bahagian tengah bersama-sama Yuta Suzuki.

Alves yang pernah menyertai kelab ternama, Itihad dan pernah muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Arab 2017 dilihat memiliki kelebihan dari segi kawalan bola, kemahiran individu dan rembatan kencang.

Beliau bakal membentuk gandingan mantap bersama-sama bintang tempatan seperti Joseph Kallang Tie, Tommy Mawat dan Sufizal Ismail di bahagian serangan.

Malah Alves dijangka akan menjadi penyelesai masalah sentuhan penyudah Kuching FA seperti yang berlaku sepanjang musim lalu.

Sementara itu, seorang lagi import asing akan mengisi slot pertahanan.

Namun calonnnya, Fredy Lobe Mbang, 25, kelihatan gagal berfungsi dengan baik setelah beberapa hari menjalani ujian.

Kemungkinan besar, Kuching FA mencari calon baharu yang lebih sesuai. Kuching FA merupakan antara pencabar utama dalam Liga Premier 2020 selain Sarawak United FC 1, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan JDT II.

Suara Sarawak