Tiga pasukan wakili Sarawak

BUAT pertama kali dalam sejarah bola sepak Bumi Kenyalang sejak menyertai Liga Malaysia pada 1979, tiga pasukan akan mewakili Sarawak dalam kejohanan Piala FA, pertandingan yang mempunyai tradisi dan kelas tersendiri.

Skuad Sarawak United II (SU II) menempah tiket ke Piala FA 2020 setelah membelasah pasukan Red Spade United FC dari Semenanjung dengan jaringan 6-1 dalam aksi kelayakan Sabtu lalu. Ia merupakan kemenangan yang cukup bermakna buat pasukan ‘Sarawak B’ itu.

Menurut Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais, SU II mempunyai potensi besar untuk melangkah jauh. “Red Spade United bukanlah calang-calang pasukan, tetapi para pemain kita mampu mengatasi mereka… jadi kemenangan besar ini amat bermakna, memberi motivasi kepada barisan pemain,” kata Posa.

SU II akan mengiringi abangnya, Sarawak United FC (SU FC) dan Kuching FA yang layak secara automatik, sebagai pasukan daripada Liga Premier. Yang pasti, SU II akan menjadi ‘kuasa tambah’ bagi dua pasukan utama kita.

Walaupun, saingan Piala FA nanti memungkinkan pertemuan sesama sendiri, namun ia cukup baik untuk mendedahkan skuad SU II ke pentas saingan yang kompetitif.

Ini kerana ia juga melibatkan skuad gergasi daripada Liga Super seperti JDT, Kedah, Perak, Pahang dan Terengganu. Bagi Kuching FA mahupun SU FC, Piala FA cukup penting.

Walaupun di atas kertas, peluang untuk memenanginya cukup sukar, ekoran nama-nama besar daripada Liga Super, namun hakikatnya, ‘tradisi kejutan’ yang kerap berlaku dalam Piala FA boleh membantu. Dari segi sejarah,

Sarawak hanya pernah sekali menjuarai kejohanan kelas kedua itu, iaitu pada 1992. Ketika itu, Sarawak bimbingan Alan Vest mengalahkan pasukan Kuala Lumpur 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Negeri. Golgol Sarawak dijaringkan oleh bek kiri, Allahyarham Sazali Ramli dan bintang penyerang import bertubuh sasa dari Perth, Australia, John Hunter.

Selepas itu, Sarawak berpeluang untuk menambah koleksi pingat juara Piala FA apabila ke final lagi pada 1996, namun agak malang apabila kalah 1-0 kepada Kedah dalam aksi di Stadium Merdeka. Sarawak juga pernah ke final pada 2000 tetapi kalah 1-0 kepada Selangor.

Sejak itu, tiada lagi nikmat Piala FA buat Sarawak kerana sering kali kecundang pada pusingan awal.

Oleh itu, musim 2020, diharap menjanjikan sesuatu sorakan kejayaan buat para penyokong Sarawak, setelah begitu lama menantinya. Kata orang, semakin lama kita menunggu, maka nikmatnya lebih manis.

Lantaran itu, Kuching FA, SU FC dan SU II mempunyai tugas yang cukup berat, berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan era gemilang bola sepak Sarawak.

Selain Piala FA, Kuching FA dan SU FC juga berpeluang untuk mengintai kejuaraan Liga Premier 2020, manakala SU II dilihat berpotensi untuk mengungguli saingan Liga M3.

Kali terakhir pasukan Sarawak menjuarai Liga Premier ialah pada 2013, pasukan kendalian Roberts Alberts. Sarawak juga pernah menjuarai Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998. Sarawak juga pernah ke final Piala Malaysia 1999.

Suara Sarawak