Tiga PATI berjaya diusir keluar daripada memasuki Sarawak

LUNDU: Tiga individu termasuk dua lelaki dan seorang wanita bersama beg masing-masing ditemui bersembunyi di sebuah stor kedai makan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan(ICQS) Biawak, hari ini.

Kesemua suspek dikesan oleh sepasukan polis menerusi Op Benteng Covid pos Pasir Tengah hasil pemeriksaan di lokasi sekitar jam 7.10 pagi.

Ketua Komander Briged Pasukan Gerakan Am(PGA) Sarawak SAC Mancha Ata berkata, kesemua suspek didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah untuk memasuki Sarawak.

“Mereka mengaku masuk melalui jalan yang tidak diwartakan(jalan tikus) yang terletak di kawasan ladang sawit berhampiran kampung Biawak.

“Pasukan operasi bertindak mengusir semula ketiga-tiga suspek balik ke negara asal,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mancha menambah, tindakan tersebut diambil selaras di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988(Akta 342) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959(Akta 155).

Terdahulu katanya, Op Benteng Covid Briged Sarawak mencatatkan kejayaan bernilai RM372,332.00 di bawah 47 rekod kes yang melibatkan 187 tangkapan, bersamaan 36 warga tempatan dan 151 pendatang asing tanpa izin(PATI).

LOKASI… tempat persembunyian tiga warga asing ditemui pasukan operasi Op Benteng Covid Pasir Tengah

Suara Sarawak