ARTIKEL

Hendrawan | BERNAMA

Tiga pemain digugurkan daripada ABM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Akademi Badminton Malaysia (ABM) menggugurkan tiga pemain perseorangan lelaki akademi itu iaitu Lee Shun Yang, Chia Jeng Hon dan Rex Hooi Shao Heng.

Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan berkata keputusan itu bersandarkan penilaian prestasi atlet terbabit ketika beraksi pada kejohanan antarabangsa dan semasa menjalani sesi latihan.

“Ini kali pertama saya rasakan pengguguran paling sukar, kebiasaannya kita hanya gugurkan satu dua sahaja.

“Penilaian prestasi mereka dinilai dalam kejohanan serta turut berdasarkan data,” katanya pada sidang media penilaian pemain kebangsaan di ABM, Bukit Kiara di sini semalam.

Hendrawan berkata Shun Yang bagaimanapun dibenarkan untuk kekal berlatih di akademi itu selain turut ditawarkan sebagai rakan sepelatih (sparring) kepada pemain sedia ada.

Jurulatih berusia 51 tahun itu, dalam masa sama memaklumkan ABM turut mengambil pendekatan membahagikan pemain sedia ada kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan B.

Kumpulan A terdiri daripada Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe manakala Kumpulan B melibatkan Shaqeem Eiman Shahyar, Chua Kim Sheng, Ong Ken Yon, Ong Zhen Yi dan Jacky Kok.

Beliau berkata Kumpulan A akan menyertai 12 hingga 14 kejohanan antarabangsa setahun, sementara Kumpulan B dikurangkan penyertaan sekitar empat hingga enam kejohanan sahaja.

“Mereka masih boleh memperbaiki kedudukan mereka untuk dimasukkan dalam Kumpulan A, dengan syarat mereka menunjukkan keputusan yang bagus apabila kita menghantar mereka menyertai kejohanan luar,” katanya. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

TNB buru gelaran treble

KUALA LUMPUR: Setelah menamatkan kemarau 21 tahun untuk merangkul kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2024 semalam, Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini dalam misi memburu gelaran

BERITA TERBARU

SAR hari kelima, bayi 18 bulan belum ditemui

KANOWIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bayi lelaki berusia 18 bulan yang dikhuatiri terjatuh dalam sungai Kanowit di Nanga Germai di sini, Ahad lalu