Tiga pemandu positif alkohol di Jalan Simpan Tiga

KUCHING: Tiga lelaki didapati memandu di bawah pengaruh alkohol selepas ditahan polis di jalan berhampiran Simpang Tiga, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, hasil ujian menggunakan alat EBA mengesahkan kesemua individu warga tempatan tersebut positif alkohol.

Menurutnya, kandungan alkohol ketiga-tiga pemandu itu melebihi sukatan normal iaitu 111mg/100ml, 86mg/100ml dan 104mg/100ml.

“Ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan berusia 35, 37 dan 50 tahun ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.

“Jika sabit kesalahan mereka(suspek) boleh didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dedahnya tangkapan tersebut merupakan hasil Op Mabuk Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuching bermula 8.30 malam pada Jumaat.

Katanya, 43 kenderaan dan 63 orang diperiksa sepanjang operasi dijalankan sehingga tamat pada awal pagi.

Salah seorang pengguna jalan raya diperiksa kandungan alkohol oleh polis.

Suara Sarawak