PADAWAN: Cubaan tiga penganggur mencuri rim sebuah kereta bukan sahaja gagal, malah mereka turut dicekup polis meskipun pada awal berjaya melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kegiatan ketiga-tiga suspek itu disedari oleh pemilik kereta terbabit, di tempat letak kenderaan di M10, Batu 10 Padawan kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
Katanya semasa pemilik kereta itu, yang merupakan seorang lelaki berusia 39 tahun menuju ke arah keretanya, dia melihat dua daripada suspek sedang membuka rim keretanya.
“Pengadu telah menegur kedua-dua suspek kenapa membuka rim kereta itu.
“Pada mulanya suspek cuba berdalih dengan mengatakan mahu menukar tayar kereta yang pancit namun setelah pengadu memberitahu itu adalah kereta miliknya, kedua-dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang dipandu seorang lagi suspek yang berada di dalam kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ekoran itu, katanya pengadu tampil membuat laporan polis.
Abang Zainal berkata hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) dan risikan, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan telah berjaya mengesan dan menangkap ketiga-tiga suspek, yang dua daripadanya berusia 32 tahun dan seorang berusia 36 tahun kira-kira jam 5.15 petang semalam.
Beliau berkata sebuah kenderaan jenis Chevrolet yang digunakan suspek turut dirampas.
Katanya ketika disoal siasat, ketiga-tiga suspek turut mengaku terlibat dalam kes berkenaan.
Sehubungan itu, Abang Zainal berkata kesemua suspek telah direman di Mahkamah Kuching hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.