ASAJAYA: Seramai 14,818 penduduk di daerah ini telah mendaftar dan layak menerima bantuan di bawah inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak setakat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan melalui inisiatif tersebut terus komited memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah menghadapi cabaran kos sara hidup semasa.
Daripada jumlah penerima tersebut, seramai 7,532 orang adalah dalam kategori isi rumah yang menerima bantuan sebanyak RM950 seorang.
“Selain itu, seramai 1,883 warga emas menerima bantuan sebanyak RM500 seorang, manakala 5,403 penerima dalam kategori bujang menerima bantuan sebanyak RM300 seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Pengagihan Bubur Lambuk dan Program Lan Berambeh Sungkei Belia Asajaya 2026 di Kompleks Sukan Asajaya, di sini, hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menambah, bantuan SKAS tersebut akan disalurkan secara tiga peringkat pembayaran iaitu pada 10 Mac, 7 Julai dan 10 November tahun ini.
Untuk rekod, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM640 juta bagi pelaksanaan SKAS tahun ini yang akan diagihkan dalam tiga peringkat.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini memaklumkan bahawa peruntukan tersebut meningkat berbanding RM480.2 juta pada tahun lalu dengan seramai 857,814 penerima layak menerima bantuan mengikut kategori isi rumah.
Menurutnya, penyaluran peringkat pertama dilaksanakan sebelum sambutan Aidilfitri, diikuti pembayaran kedua menjelang Gawai Dayak, manakala peringkat ketiga pada bulan November bagi membantu rakyat membuat persediaan persekolahan anak-anak.
Dalam pada itu, Abdul Karim yang hadir pada program berkenaan turut menyempurnakan penyerahan bubur lambuk kepada orang awam, menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dari kawasan Asajaya serta meluangkan masa berbuka puasa bersama penduduk setempat.






