TEBEDU: Tiga Pos Gabungan Malaysia Indonesia (GABMA) diaktifkan secara serentak hari ini di kem Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Menurut Markas 1 Divisyen, pengaktifan kem TDM merangkumi kem Jawatankuasa Perancangan Gerakan (JPG) Biawak, Lundu; Kem JPG Tebedu, Serian dan Kem JPG Lubok Antu.

Manakala di Indonesia katanya ialah di Pos Nanga Badau, Pos Entikong dan Pos Sajingan.
“Pengaktifan Pos GABMA adalah signifikan dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia amnya dan TDM dan TNI AD khasnya sejak ia ditangguhkan pada awal tahun 2020 kerana pandemik Covid-19.
“Penugasan GABMA adalah sebahagian daripada operasi pengawal keselamatan pos 24 jam, rondaan berkenderaan, rondaan berjalan kaki dan serkap atau serdap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, TNI-AD menghantar 10 anggota di setiap pos di kawasan Malaysia, manakala TDM pula menghantar lapan anggota ke pos di kawasan Indonesia.
“Pasukan yang terlibat ialah Rejimen keempat Kor Armor Diraja (KAD) dan Batalion Infantri 645 Ghardatama,” jelasnya.
Majlis pengaktifan GABMA di Kem JPG Tebedu disempurnakan oleh Panglima 3 Briged Brigadier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff.
Turut hadir, Pegawai Memerintah Batalion Infantri 645 Ghardatama Leftenan Kolonel Hudallah S. H, Pegawai Memerintah 4 KAD Leftenan Kolonel Mohamad Sazili Hussain dan MMLO Leftenan Kolonel Haizal Mohamad Ariffi.
