
MATU: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya turun padang untuk menyaksikan majlis Penyerahan Mula Kerja tiga projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di sekitar Igan.
Penyerahan disempurnakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Mukah kepada kontraktor yang berjaya dan turut disaksikan Pegawai Daerah Matu Wan Hipni Wan Mohamad.
Tiga projek tersebut melibatkan naik taraf tebingan Sungai di Kampung Baru Ismail, Igan (RM300,000), naik taraf tebingan sungai di Kampung Pulau, Igan (RM200,000) dan naik taraf jambatan konkrit Berdekatan Kawasan Rumah Sukarno Idris di Kampng Sekerang Igan bernilai RM150,000.
Dr Juanda berharap projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi yang telah ditentukan.
“Apabila siap projek ini, ia akan memberi kemudahan dan impak besar kepada ekonomi penduduk selain menarik pengunjung ke kawasan berkenaan,” ujarnya.
Adun Jemoreng itu menyempurnakan penyerahan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Projek Khas Persekutuan bagi kawasan N.44 Jemoreng.
Penyerahan tersebut diadakan di sekitar Kampung Igan dan turut disertai Penghulu Kampung Igan Rahmah Ras.
Sebanyak 20 penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ppersatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) menerima cek masing-masing berjumlah keseluruhan RM115,000.
Menurut Dr Juanda, peruntukan tersebut untuk kegunaan aktiviti dan program sepanjang tahun.
Malah beliau turut menasihatkan para penerima agar menggunakan peruntukan tersebut sebaik mungkin dan berharap para penerima akan lebih aktif dalam mengadakan aktiviti untuk masyarakat di kawasan itu.