KUCHING: Tiga rakan masing-masing dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.27 gram, November tahun lalu.
Tertuduh berusia 22 tahun hingga 37 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) Akta yang sama dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, apabila didapati memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.27 gram.
Mereka didakwa memiliki bahan terlarang terbabit di sebuah rumah di Jalan Astana, di sini, kira-kira jam 10 pagi, 17 November 2021.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh pertama, Mior Ahmad Fairuz Abu Kassim, 37, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan.
Manakala Nursyafiqah Rosli, 22, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan.
Mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 17 November 2021.
Bagi tertuduh ketiga pula, Razlan Abdullah, 36, dijatuhi hukuman denda RM3,300 atau lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut fakta kes, sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (BJSJN) telah menahan tiga orang suspek di dalam sebuah rumah di Jalan Astana, kira-kira jam 10 pagi, 17 November tahun lalu.
Hasil pemeriksaan menjumpai sekotak rokok yang berisi satu paket plastik mengandungi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis syabu.
Kesemua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan dan laporan kimia mengesahkan bahawa barang kes adalah bahan terlarang iaitu dadah jenis Methamphetamine seberat 0.27 gram.
Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap ketiga-tiga tertuduh sebagai pengajaran.