Tiga remaja di Batu Kawa dicekup miliki dadah

KUCHING: Tiga remaja lelaki dicekup setelah didapati memiliki dan cuba menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 55.5 gram hasil serbuan polis di sebuah bilik rumah berhampiran RPR Taman Sri Cahaya, Batu Kawa Tondong, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, serbuan mengejut itu dijalankan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Dadah(BSJND) Padawan di lokasi sekitar jam 5.30 petang.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki berusia 18, 22, dan 23 ketika serbuan sedang leka duduk bersila di lantai sebelum terkejut melihat kedatangan pasukan polis membuat serbuan.

“Tindakan pemeriksaan awal telah menjumpai satu kotak besi berisi empat peket plastik lutsinar dan sebelas peket plastik biru yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 55.5 gram di tempat duduk suspek.

“Ketiga-tiga suspek telah diberitahu kesalahannya dan terus ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, kesemua suspek dan barangan kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Aidil turut mendedahkan dua daripada suspek dikenal pasti pernah ditangkap di bawah kesalahan aktiviti penyalahgunaan dadah sebelum ini.

Katanya, hasil siasatan lanjut salah seorang daripada suspek mengaku mengambil bekalan dadah daripada seorang pengedar tidak dikenali menerusi kaedah secara bank-in.

Ujarnya, kesemua suspek kini masih ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.