KUCHING: Dua lelaki melecur di bahagian kepala, bahu dan tangan dalam insiden kebakaran yang membabitkan tiga buah rumah jenis tidak kekal di Kampung Kudei kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, salah seorang mangsa berumur lingkungan 30 tahun melecur 30 peratus, manakala seorang lagi mangsa hanya melecur 10 peratus.

“Kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh pihak keluarganya untuk tindakan rawatan susulan,” katanya.
Menurutnya, insiden berjaya dikawal sekali gus memastikan rumah keempat yang berdekatan tidak terjejas akibat kebakaran.

“Pasukan Operasi Balai Bomba Batu Lintang melaporkan kebakaran menyebabkan dua buah rumah terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah hanya terbakar di bahagian dinding sahaja,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, operasi menyelemat melibatkan tiga buah balai bomba dan penyelamat (BBP) iaitu BBP Batu Lintang, Padungan dan Petra Jaya.