KUCHING: Tiga Rang Undang-Undang (RUU) baharu antara enam RUU yang bakal dibentangkan pada Persidangan Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Ke-19 bermula esok hari.
Antara tiga RUU tersebut adalah RUU Aktiviti Elektronik Kerajaan Sarawak, 2022; RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No.2), 2022 dan RUU Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak, 2022.
Speaker Dun Sarawak Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, bacaan kali pertama bagi kesemua RUU akan dilakukan pada hari pertama persidangan iaitu hari ini (21 November).

“Sementara antara RUU lain ialah Bil Bekalan (2023), 2022; RUU Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (Pindaan), 2022 dan RUU Kesihatan Awam Veterinar (Pindaan), 2022,” katanya pada Sidang Media Mesyuarat Pra-Dun yang dilakukan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.
Mengulas lanjut Asfia berkata, Bil Bekalan (2023), 2022 akan dibentangkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg manakala RUU Aktiviti Elektronik Kerajaan Sarawak, 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.
RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No.2), 2022 akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang- undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ujarnya.
“RUU Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak, 2022 juga akan dibentangkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“RUU Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (Pindaan), 2022 akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Saleh.
“RUU Kesihatan Awam Veterinar (Pindaan), 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom,” katanya.
Dalam pada itu kata Asfia, bacaa kedua dan ketiga RUU Perbekalan (2023), 2022 akan dilakukan pada 21 dan 30 November.
RUU Aktiviti Elektronik Kerajaan Sarawak, 2022; RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No.2), 2022; dan RUU Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak, 2022 akan dilakukan pada 22 November, katanya.
“Bacaan kedua dan ketiga RUU Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (Pindaan) 2022 dan RUU Kesihatan Awam Veterinar (Pindaan), 2022 akan dilakukan pada 23 November ini,” katanya.