KUCHING: Tiga sahabat baik masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana mencuri dalam sebuah bangunan kedai serbaneka 24 jam dengan mengambil sejumlah wang tunai RM3,273, Februari tahun lalu.
Mohd Amirul Husini, 29, Kamal Abak, 30 dan Reynolds Cassey Julong Patrick, 23, masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mencuri dalam bangunan di sebuah kedai serbaneka 24 jam dengan mengambil sejumlah wang tunai RM3,273 dalam mesin tunai di Jalan Song Thian Cheok, kira-kira jam 5.15 pagi, 9 Februari 2022.
Oleh itu, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan secara bersama Seksyen 34 Akta yang sama, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun dan boleh dikenakan denda.
Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, pengadu lelaki sedang bekerja dengan salah seorang rakan perempuannya didatangi dua orang lelaki tidak dikenali memakai pelitup muka dan topi.
Kemudian, tertuduh pertama (Amirul) mengeluarkan sebilah kapak lalu terus ke kaunter pembayaran serta mengambil wang dalam mesin tunai berjumlah RM3,273. manakala tertuduh kedua (Kamal) memegang kerambit.
Manakala, tertuduh ketiga (Reynolds) berada di luar kedai menjadi pemerhati di kawasan sekeliling. Ketiga-tiga mereka kemudian, melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan jenis kompak.
Sejurus selepas kejadian, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut dan ketiga-tiga tertuduh berjaya ditangkap pada 17 Februari 2022.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Iezzah Iburdanisha Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.