Tiga serangan tahun ini

KUCHING: Terdapat tiga kes serangan buaya di Sarawak tahun ini menurut laporan media yang disiarkan secara meluas.

Pada 24 April lalu, seorang lelaki dibaham buaya di sungai Kampung Melayu Tanjung Bijat di Sri Aman.

Mangsa Yanha Mahrat, 29, ditemui mati dengan keadaan kedua-dua tangan dan kaki kiri terputus selepas terapung sekitar 2.7 kilometer dari lokasinya dipercayai dibaham buaya.

Tiga bulan kemudian pada 24 Julai lalu, seorang lelaki dipercayai menjadi korban terbaru serangan buaya di Sarawak di Sungai Seduku yang merupakan anak sungai Batang Lupar di Sri Aman.

Bagaimanapun, sehingga kini, mayat Kong Gindi, 47, masih belum ditemui selepas dibenam buaya ke dasar sungai.

Menurut saksi juga kawan Kong dikenali sebagai Saji Thomas, 52, dia melihat dengan matanya kawan dibaham di bahagian kaki ketika sedang mencuci perahu di sungai berkenaan.

Tiga hari kemudian, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang keluar mencari siput di sungai bersama-sama ibu saudara dan dua lagi rakannya menjadi mangsa serangan terbaharu.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Ricky Ganya disambar buaya ketika sedang mencari siput di sebatang sungai di Rumah Dadat, Tanjung Manis di Mukah.

Bagaimanapun, lima hari kemudian, buaya sepanjang 4.5 meter yang dipercayai membaham Ricky berjaya ditangkap selepas reptilia itu tersangkut pada pancing berumpan ayam dipasang oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT), Perbadanan Hutan Sarawak (SFC).

Buaya berkenaan kemudian dibawa ke darat dan perutnya dibelah di depan pegawai polis, keluarga mangsa serta penduduk kampung.

Antara yang ditemui dalam perut buaya itu ialah tulang rusuk, tulang betis, tapak tangan dan serpihan dipercayai tengkorak serta sehelai baju.

Suara Sarawak