Tiga suspek kes bunuh lelaki Indonesia di TROPI berhadapan pertuduhan membunuh

KUCHING: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Samarahan atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warganegara Indonesia yang mayatnya dijumpai dalam keadaan tangan diikat ke belakang berhampiran Institut Penyelidikan Tanah Gambut (TROPI), Jalan Kuching-Samarahan pada 15 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata pertuduhan terhadap mereka dibacakan dihadapan Hakim Afidah Abdul Rahman, hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga tertuduh dikenali sebagai Raymondson Ding Tuba, 24, Keithson Imang Tuba, 19, dan Ryan Mccallister Raedy, 19.

“Tiada pengakuan diambil, tertuduh tidak diwakili peguam. Tiada ikat jamin ditawarkan terhadap tertuduh dan kesemua mereka akan direman di Penjara Puncak Borneo,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Denis menambah sebutan semula kes ditetapkan pada 17 September, jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Kota Samarahan.

Manakala, katanya dua lagi suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dengan ikat jamin RM5,000 serta seorang penjamin tempatan.

Suspek kes bunuh seorang lelaki warga Indonesia dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Samarahan, hari ini atas pertuduhan membunuh.