KUCHING: Kerajaan Sarawak mewujudkan tiga teras strategik untuk memastikan jaminan keselamatan makanan dan transformasi pengeluaran pertanian di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini diwujudkan melalui tiga inisiatif iaitu transformasi pertanian, keselamatan makanan dan membangunkan ekonomi luar bandar.
Menurut beliau, Sarawak ingin membangunkan sektor pertanian negeri menggunakan teknologi dan berdaya saing pada masa akan datang, mempunyai keselamatan makanan terjamin dan mewujudkan keuntungan untuk komuniti pertanian.
“Sehubungan itu, sejumlah RM1.123 bilion diperuntukkan pada tahun depan untuk melaksanakan pelbagai program.
“Ia termasuk penubuhan Taman Agro di Sg. Baji, Sarikei dan Sadong Jaya, Samarahan, penubuhan Inkubator Industri Asas Tani di Wilayah Selatan dan Utara, penubuhan kawasan penternakan babi di Simunjan, Selangau dan Samarakan, program pembangunan Agro Makanan, program pembangunan tanaman komoditi, serta projek saliran dan pengairan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, bagi inisiatif strategik kedua, usaha diperhebatkan dengan meningkatkan tahap pengeluaran padi sendiri daripada 51 peratus ke 70 peratus menjelang tahun 2030.
“Ini dicapai melalui menaik taraf dan memulihkan sistem saliran dan pengairan agar membolehkan proses pengeluaran ladang, amalan pertanian yang tepat, dan penanaman padi selama dua musim dalam setahun,” jelasnya.
Sementara itu, beliau menjelaskan bagi memenuhi permintaan domestik bekalan daging lembu, kerbau dan kambing yang semakin meningkat, sejumlah RM13.5 juta diperuntukkan di bawah Bajet Sarawak 2021 untuk mendapatkan stok ternakan lembu, kerbau dan kambing.
“Ini untuk memperkukuhkan integrasi ruminan dengan program ladang minyak sawit bagi mencapai sasaran menghasilkan 150,000 ekor lembu menjelang 2025,” ujarnya lagi.
Dalam inisiatif strategi ketiga beliau berkata, empat program turut diperkasakan termasuk Agriculture Facilitation Fund (AFF), pusat pembangunan luar bandar, Skim Bantuan Khas untuk nelayan dan petani serta Projek Tukun Sarawak.