Tiga wartawan Suara Sarawak terima ijazah

KOTA SAMARAHAN: Tiga wartawan Suara Sarawak manakala seorang wartawan New Sarawak Tribune antara 4,038 graduan yang menerima ijazah masingmasing pada Majlis Konvokesyen Ke-23 Unimas di sini, semalam.

Wartawan Suara Sarawak ditempatkan di Limbang, Mohammad Fikri Jamal, 24, berasa amat gembira kerana terus mendapat pekerjaan sebelum bergelar graduan.

“Setiap pelajar universiti sememangnya menantikan saat untuk bergelar sebagai graduan dan begitu juga saya. “Majlis konvokesyen ini amat bermakna kerana saya meraikannya dalam alam pekerjaan,” katanya.

Turut menerima ijazah dalam program Kajian Politik dan Pemerintahan bersama Fikri ialah Mohamad Haziq Amaluddin, 24, yang menjadi wartawan Suara Sarawak di meja Portal.

“Saya berasa bangga kerana berjaya mencapai tahap pembelajaran di menara gading dan ini  berkat sokongan ibu bapa serta bimbingan pensyarah. “Saya berharap kejayaan yang saya capai ini menjadi inspirasi kepada adik-beradik saya,” jelasnya.

Seorang lagi wartawan meja Portal Suara Sarawak ialah Nurul Farhanah Melon, 24 yang menamatkan pengajian dalam bidang Kajian Komunikasi. “Saya berasa terharu dan bangga kerana akhirnya saya menjadi alumni Unimas. “Perjalanan untuk bergelar seorang graduan bukan perkara yang mudah,” ujarnya.

Beliau turut memanjatkan kesyukuran kepada ibu bapa dan pensyarah yang tidak jemu menyokongnya selama ini.

Sementara itu, seorang wartawan New Sarawak Tribune iaitu Nur Shazrena Ali yang menamatkan pengajian dalam bidang Kajian Komunikasi amat bersyukur kerana berjaya bergelar sebagai seorang graduan.

“Paling penting ialah graduan tidak harus memilih pekerjaan kerana zaman semakin mencabar.

“Oleh itu, beliau berasa terharu apabila bergelar sebagai wartawan meskipun sebelum majlis konvokesyen,” katanya.

Suara Sarawak