Tiga wilayah membentuk Malaysia

KUCHING: Pengiktirafan Sarawak sebagai wilayah bukannya menjadikan kedudukan lebih kecil berbanding negeri atau sama dengan Wilayah Persekutuan, tegas Menteri Muda Undangundang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Menurutnya, wilayah yang dimaksudkan adalah dalam konteks penubuhan Malaysia. “Ada tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu yang bercantum membentuk Malaysia.

“Tidak ada isu Sarawak menjadi Wilayah Persekutuan atau turun taraf. Sebenarnya dengan pengiktirafan ini, maka kita sekarang secara prinsip sama taraf dengan Semenanjung.

“Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu adalah tiga komponen yang menubuhkan negara Malaysia, dalam bahasa Inggeri ia disebut nomenclature dan dari sudut bahasa Melayu dipanggil wilayah,” katanya.

Beliau yang juga Adun Samariang berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kembali ke Sekolah 2021: Penyampaian Bantuan Persekolahan di sini pada Sabtu.

Tambahnya, pengiktirafan itu membolehkan perkongsian sama taraf antara tiga wilayah berkenaan kerana Sabah dan Sarawak bukan negeri seperti Johor, Kedah dan sebagainya.

“Oleh sebab itu, wilayah ini adalah bertepatan dengan yang sepatutnya seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu tiga entiti yang menandatangani perjanjian untuk menubuhkan negara ini,” tambahnya.

Mengulas pertanyaan adakah Sabah dan Sarawak akan menerima peruntukan sama rata dengan seluruh Semenanjung ujarnya, perkara itu akan diperhalusi kelak.

“Setakat ini secara prinsip Sarawak diiktiraf sebagai sebuah wilayah. Sekarang kita masih dalam perbincangan serta rundingan mengenai perkaraperkara yang harus dituntut dan dipinda di bawah Jawatankuasa MA63 yang telah ditubuhkan.

“Semua perkara berkaitan hendaklah diperhalusi dan dibincangkan secara mendalam, termasuk cara-cara pelaksanaan, pengurusan, pentadbiran, peraturan, penggubalan undangundang dan sebagainya.

“Justeru ia akan mengambil masa dan kita mencari mekanisme terbaik,” jelasnya.

Terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatan ke Sabah dan Sarawak baru-baru ini mengumumkan kedua-dua negeri ini sebagai wilayah dan ia telah mendapat pelbagai reaksi masyarakat yang keliru dengan maksud tersebut dan menganggap ia sebagai terminologi.

Suara Sarawak