ARTIKEL

Tiger Platoon PGA dan Unit Dron PGU digerak untuk kesan dua suspek lolos

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBURAN: Pasukan Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan untuk mengesan dua tahanan warga Indonesia yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Tapah, jam 1 tengah hari semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya memperluaskan pencarian sehingga lima kilometer dengan membabitkan seramai 110 orang pegawai dan anggota polis.

Malah katanya, pihaknya juga dibantu unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak untuk menjejak kedua-dua suspek.

“Kita turut mengadakan lima sekatan jalan raya dalam kawasan Padawan iaitu di Balai Polis Beratok, Balai Polis Tapah, Balai Polis Batu Kawa, Balai Polis Batu 10 dan Siburan.

“Sekatan jalan raya turut dilaksanakan di daerah-daerah bersempadan dengan Padawan iaitu di Kuching, Kota Samarahan, Bau, Lundu, Lubok Antu dan Sri Aman,” katanya kepada media di Balai Polis Tapah, di sini hari ini.

Ditanya mengenai video tular suspek dikatakan melarikan diri ke Kampung Mambong, Mohd Azman berkata, pihaknya akan membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum mengerakkan pasukan penyiasat untuk mengesan.

Katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan yang dibuat orang awam.

Justeru beliau memohon orang ramai untuk memberikan apa sahaja maklumat berhubung individu yang mencurigakan untuk membantu PDRM mengesan kedua-dua suspek tersebut.

Terdahulu, Mohd Azman dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua suspek yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Tapah dikenali sebagai Kelvin, 21 tahun dan Bony, 31 tahun.

Katanya, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigiresen telah ditangkap oleh sepasukan anggota polis Balai Polis Kota Sentosa pada 7 Jun 2023 dan telah ditempatkan di Balai Polis Tapah untuk siasatan lanjut.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menjumpai individu yang mencurigakan boleh berhubung terus dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di talian 082-862233 atau mana-mana balai polis yang berdekatan anda.

BERITA LAIN

15 PATI gagal masuk Sarawak

KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke Sarawak menggunakan lorong tikus di Sektor Pos GABMA

BERITA TERBARU