NEPTUNES Presents selaku penganjur Konsert D’Masiv Road To The World menambah satu hari lagi konsert band Indonesia itu yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 3 Jun ini.
Ia berikutan sambutan luar biasa dalam kalangan peminat, malah tiket habis terjual hanya dalam tempoh 48 jam penjualannya.
Penganjurnya yang juga aktres popular, Nabila Huda berkata, pihaknya tidak mahu mengecewakan peminat yang terlepas membeli tiket konsert band popular dari negara jiran itu.
“Alhamdulillah, sambutan peminat D’Masiv untuk konsert pada malam pertama cukup luar biasa.
“Fenomena itu mencetuskan idea kepada Neptunes Presents dan D’Masiv untuk menambah satu malam lagi, sekali gus memberi ruang kepada peminat menyaksikan konsert yang julung kalinya diadakan di Kuala Lumpur itu,” katanya memetik media tempatan.