KUCHING: Harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sarawak pada kadar RM1,000 adalah tidak berpatutan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Katanya, pertukaran harga tiket dalam satu-satu masa sebaliknya menimbulkan kecelaruan sekali gus menggesa tindakan pertukaran secara tiba-tiba itu perlu diselaraskan dengan alasan munasabah.
“Satu ketika RM300, satu ketika RM1,000, bila ramai orang nak terbang dan membeli tiket harganya boleh naik.
“Justeru perlu ada kaedah-kaedah tertentu untuk memberitahu kenapa harga itu berpatutan sedemikian, kalau harga RM1,000 memang tidak berpatutanlah bagi saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan harga tiket penerbangan semenanjung ke Sarawak di Masjid An-Najah Asajaya, di sini hari ini.
Justeru katanya, cadangan untuk meletakkan harga syiling seperti mana cadangannya sebelum ini perlu dipertimbangkan dalam memberi manfaat kepada orang ramai.
Tegasnya, dengan adanya syarat sedemikian, sudah tentu harga tiket tidak akan dapat melintasi peringkat harga yang telah ditetapkan.
“Kita akui bahawa harga tiket kapal terbang ditetapkan berdasarkan permintaan dan pembekalan.
“Jadi kalau ditetapkan syiling harga tiket RM500, baru saya boleh katakan harganya berpatutan namun lebih baik mempunyai siling menaik bukan menurun,” katanya.
Sementara mengenai usaha Kerajaan Sarawak untuk mempunyai penerbangan dan pesawat sendiri, beliau mengakui usaha tersebut semestinya untuk menyediakan alternatif penerbangan dari luar Sarawak.
