Timba ilmu jurulatih di Miri

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) terus mengorak langkah, dengan menganjurkan program kejurulatihan untuk pemegang Lesen B, C, D dan Pra- C di Stadium Miri pada 10, 11 & 12 April ini (Sabtu, Ahad dan Isnin).

Kursus tersebut dikenali sebagai “Briefing & Practical Sarawak’s Way” (Taklimat & Praktikal Cara Sarawak).

Ia adalah jalinan kerjasama FAS, Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (PBBM), Sarawak United FC (SUFC) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Timbalan Presiden FAS, Mohd. Saif Jubaidi memberitahu, ia merupakan program julung kali, bagi melahirkan jurulatih berilmu di negeri ini.

“Program tiga hari itu akan dikendalikan oleh Pengarah Teknikal SUFC, B. Sathiananthan bersama-sama Pengarah Teknikal FAS, David Usop serta pemegang Lesen Super A, Jalil Ramli dan Awangko Shahbuddin Pengiran Abu Bakar,” ujar Mohd Saif kepada Arena Suara Sarawak baru-baru ini.

“Kita adakan program ini secara percuma untuk para jurulatih di seluruh negeri ini.

“Kita juga akan mengadakannya di Zon Tengah dan Selatan selepas ini,” ujar Mohd Saif.

Menurutnya pelbagai topik kejurulatihan akan dibincang dan dikupas, secara teori dan praktikal.

Antara peserta program ialah Jamal Wasli, bekas pemain Sarawak era pertengahan 80-an yang berasal dari Mukah.

“Saya teruja untuk menyertai program tersebut bagi menambah ilmu kejurulatihan.

“Lagi pula, ia akan memberi peluang untuk bertemu rakan-rakan lama yang pernah menyarung jersi skuad negeri suatu ketika dahulu,” ujar Jamal yang mempunyai Lesen B.

Jamal pernah menjadi penolong pasukan Belia Sarawak 2019 bersama-sama Safri Amit (ketua jurulatih). Kini beliau membimbing pasukan Bawah 25 Tahun Mukah. Beliau juga adalah pengasas Akademi Bola Sepak Bahagian Mukah.

Suara Sarawak