ARTIKEL

MULAI Isnin lalu 13 pelajar UNIMAS dan UiTM dalam pelbagai jurusan, menjalani latihan kewartawanan di Suara Sarawak selama tiga bulan, dan ada yang sehingga enam bulan. Foto SAHMAT BUJANG

Timba ilmu wartawan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

FILEM legenda Melayu, Ali Baba Bujang Lapok yang berusia lebih separuh abad bukan sekadar mencuit hati, tetapi sarat dengan mesej.

Antaranya babak perkenalan ketua penyamun (P. Ramlee) dan pemotong kayu (Aziz Satar) yang bersembunyi di atas pokok berdekatan gua yang juga tempat penyamun menyimpan timbunan harta karun. Sebaik ternampak, ketua penyamun ditegur pemotong kayu dengan ucapan “hai”… dan disahut dengan “hai” juga. Lalu ketua penyamun bertanya, siapakah gerangan anda, dan pemotong kayu menjawab; “saya reporter”.

Malah pemotong kayu juga mengambil peluang meminta dan menulis mantera daripada ketua penyamun yang menjadi kunci untuk membuka pintu gua.

Pada hari keberikutnya, tanpa disedari kumpulan penyamun, pemotong kayu menyelinap masuk ke gua tersebut dan mengambil beberapa ketul emas dan akhirnya beliau menjadi kaya raya.

Mesej jelas filem ini ialah seorang reporter (wartawan) mempunyai ‘tiket’ untuk berjumpa sesiapa sahaja, malah boleh mendapatkan maklumat penting. Jika bukan reporter sudan pasti pemotong kayu tersebut dibunuh.

Sejak dulu hingga kini wartawan bukan sahaja dihormati, malah digeruni golongan berpengaruh. Dengan pas media, wartawan boleh pergi ke mana-mana sahaja dan boleh berjumpa sesiapa sahaja, daripada manusia serendahrendahnya sehinggalah setinggitingginya.

Katakan mana-mana tempat di dunia ini… semuanya sudah ditakluki wartawan, malah di medan perang sekali pun, atau di gurun sahara mahupun ke kutub utara. Segalanya adalah demi maklumat, fakta dan data untuk dikongsi dengan khalayak masyarakat, dan sebagai informasi penting tentang keadaan dan perkembangan semasa dari serata tempat. Sukar untuk dibayangkan jika dunia ini tanpa wartawan, bagaimana kita boleh mendapatkan informasi penting… malah kita akan sentiasa terdedah dengan maklumat palsu yang sangat berbahaya.

Dengan pas media yang diiktiraf, wartawan boleh menulis apa-apa sahaja asalkan tidak menyimpang daripada etika kewartawanan yang menjadi pegangan sejak turun-temurun.

Oleh itu wartawan mempunyai tanggungjawab besar, bukan sekadar menulis dan menyampaikan maklumat, tetapi ia mesti berlandaskan sumber dan fakta yang dipercayai, bagi memastikan sesuatu berita itu benar dan sahih.

Mulai Isnin lalu 13 pelajar UNIMAS dan UiTM dalam pelbagai jurusan, menjalani latihan kewartawanan di Suara Sarawak selama tiga bulan, dan ada yang sehingga enam bulan. Mereka merupakan generasi keberikutnya menimba ilmu wartawan di akhbar ini sejak Suara Sarawak memulakan operasi pada 1 Mac 2019.

Sebagai salah sebuah organisasi media berpengaruh di Bumi Kenyalang akhbar ini sentiasa membuka pintu setiap tahun untuk berkongsi ilmu dengan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Ia kerana inilah generasi yang akan mengambil alih tugas wartawan suatu hati nanti, kerana dunia wartawan juga seperti kerjaya lain… yang lama akan berlalu pergi dan yang baharu akan datang lagi… patah tumbuh hilang berganti.

Oleh itu, adalah salah satu tanggungjawab penting organisasi media untuk berganding bahu dengan IPT di negeri ini, untuk membentuk generasi wartawan baharu, memastikan ilmu kewartawanan dapat ditimba sebaik mungkin bagi meneruskan legasi kewartawanan.

Untuk menjadi wartawan berjaya, tidak cukup dengan minat, ia harus diringi usaha gigih berterusan tanpa rasa jemu. Seperti yang pernah diungkapkan oleh tokoh kewartawanan Malaysia,Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail; “Wartawan ibarat buah kelapa… semakin tua semakin banyak santannya.”

Seorang lagi tokoh wartawan, Allahyarham Datuk Ahmad A. Talib, dalam selorohnya pernah berkata; “Wartawan ini darahnya merah, tapi yang mengalir dalam nadi itu mungkin juga hitam warnanya, kerana dipenuhi kopi dan dakwat!” Kematangan dan pengetahuan seseorang wartawan seiring usia dan masa dalam bidang tersebut. Proses pembelajaran seseorang wartawan adalah berterusan.

Namun ia bergantung kepada kehendak, keinginan dan cita-cita masing-masing. Salah seorang wartawan senior Sarawak yang menjadi rujukan penting dalam kalangan wartawan di negeri ini berpesan; “Jangan sesekali malu bertanya, dan jangan sesekali berhenti menimba ilmu… sentiasa menggali informasi penting yang boleh menguatkan tulisan anda.

Katanya lagi; “Banyakkan membaca, kalau boleh semua media, cetak mahupun dalam talian… semakin banyak anda membaca, maka semakin banyak ilmu dan maklumat yang anda dapat. Jangan pula lupa membaca buku ilmiah dan novel berkualiti, kerana ia pasti membantu kematangan dan kemantapan tulisan anda.” Bukan tidak ada wartawan yang masih di takuk lama, kerana enggan memperbaiki diri sedangkan sudah lebih sedekad dalam bidang ini, malah ada yang sudah lebih dua dekad, tetapi tiada transformasi.

Tiada istilah mudah berpuas hati, kerana tanpa disedari kerjaya wartawan adalah proses pembelajaran berterusan, sesuai dengan perkembangan semasa, dan ledakan teknologi tanpa sempadan.

Kewujudan dunia maya, menjadikan tugas wartawan semakin mencabar, walaupun pada masa yang sama ia turut banyak membantu.

Era dunia digital menuntut wartawan bergerak solo dengan peralatan, capaian Internet yang baik dan telefon pintar dalam usaha bersaing dengan wartawan warga. Wartawan warga ialah kelompok yang mengambil inisiatif sendiri melaporkan dan mengulas mengenai isu-isu yang mereka bimbang dan untuk itu, mereka menggunakan alat-alat yang terdapat di Internet. Hal ini menyaksikan wartawan profesional perlu segera bertindak sendiri dalam membuat sesuatu keputusan sekiranya secara kebetulan berdepan kejadian atau tragedi yang mampu dijadikan sebagai laporan berita.

Wartawan sekarang perlu sentiasa bersedia dan bijak dalam membuat keputusan sendiri.

Apabila mampu berdikari, maka ia akan menjadi nilai tambah untuk bersaing dengan wartawan lain dalam menghasilkan laporan eksklusif. Di samping itu, wartawan terutama yang baharu harus tahu senarai wartawan atau editor ternama yang berkaliber, sama ada di peringkat lokal, nasional atau internasional. Adalah penting untuk sentiasa membaca tulisan mereka sama ada dalam bentuk berita atau rencana.

Ini kerana ulasan mereka biasanya agak luar biasa, mempunyai ciri-ciri tersendiri yang tidak ada pada tulisan wartawan biasa-biasa. Ia adalah salah satu proses penambahbaikan ilmu dalam dunia penulisan kewartawanan. Yang pasti, buat 13 pelatih dari UNIMAS dan UiTM manfaatkan tempoh pembelajaran sepanjang tiga bulan di Suara Sarawak. Sama ada anda akan menjadi wartawan suatu hari nanti atau sebaliknya, bukanlah persoalannya, kerana ilmu wartawan sedikit banyak menjadi bekalan ke mana-mana anda pergi selepas ini. Realitinya pahit manis dunia kewartawanan sentiasa menjanjikan ‘nikmat’ yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 

BERITA LAIN

Tradisi Aidilfitri yang hilang

TIDAK dapat dinafikan semakin moden dan membangun sesebuah negara, maka semakin terkorban tradisinya. Malah semakin berkembang teknologi, maka semakin tersisih budaya yang pernah menjadi pegangan

Kosong-kosong

ESOK, umat Islam seluruh Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Maka berakhirlah perjuangan sebulan Ramadan. Syawal tiba sebagai hadiah kepada umat Islam yang berjaya menempuh

Lempar batu, sembunyi tangan

APAKAH yang mengecewakan anda sebagai rakyat Malaysia ketika ini? Adakah pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pendapatan yang rendah, peningkatan inflasi atau kos sara hidup yang tinggi? Atau

Resolusi 2728

KETIKA Dewan Keselamatan PBB menyetujui resolusi menuntut gencatan senjata segera dikuat kuasa di Gaza, lebih 33,000 rakyat Palestin sudah pun terbunuh dengan hampir 76,000 cedera

Jangan mudah tergoda

TINGGAL beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pusat beli-belah kini menjadi tumpuan. Suasana juga begitu sibuk. Setiap tahun kita dapat lihat

Hidup ini keras

PADA pagi Rabu, saya menempah tukang bersih rumah yang diperkenalkan oleh sahabat. Seorang ibu tunggal berusia 34 tahun dan anak perempuan berusia 14 tahun. Apabila

BERITA TERBARU