Tindakan berat akan diambil terhadap pelindung Pati

KUCHING: Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negeri ini, tegas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Beliau berkata, tekong, majikan mahupun pekerja asing sedia ada yang didapati bersalah kerana melindungi Pati akan berhadapan dengan denda atau hukuman berat atas kesalahan mereka.

“Kebimbangan ketika ini bukan sahaja memastikan rondaan kerap di pelbagai jalan tikus atau jalan gajah sepanjang sempadan tetapi melihat kepada tangkapan tekong yang bertanggungjawab menyeludup Pati ke Sarawak,” kata Masing dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, terdapat beberapa insiden, pekerja asing melindung Pati yang juga merupakan saudara-mara atau rakan mereka.

Masing memberitahu sekatan jalan raya akan diadakan bagi menangkap dalang yang menyeludup Pati.

“Pintu masuk seperti Lundu, Serian, Bau, Biawak, Balai Ringin dan Lundu Antu akan dipantau,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata satu usaha kerjasama akan diadakan dengan menubuhkan ‘joint-task force’ melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang akan dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Safri Zainuddin.

Katanya, dalam masa yang sama, Jawatankuasa Keselamatan Sempadan telah diarahkan untuk melihat mekanisma dalam membenarkan pekerja asing yang sah ke Sarawak kerana terdapat permintaan pekerja asing yang tinggi adalah salah satu sebab Pati berusaha menyelinap ke negeri ini.

“Pasukan ini juga akan merangka dasar yang lebih tersusun agar pekerja asing ini akan dibenarkan masuk ke Sarawak secara tersusun dan selamat. Suka atau tidak, industri kita di Sarawak memerlukan perkhidmatan mereka,” kata Masing.

Suara Sarawak