Tindakan disiplin elak projek lewat siap

KUCHING: Kementerian Kewangan Sarawak akan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Disiplin terhadap kontraktor yang tidak berprestasi baik untuk mengelakkan kelewatan pelaksanaan projek.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia satu daripada empat inisiatif untuk meningkatkan dan memperkuat akauntabiliti, ketelusan dan kecekapan dalam semua proses dan prosedur perolehan negeri.

“Inisiatif lain ialah mengkaji dan memperbaiki garis panduan atau manual perolehan negeri untuk pelaksanaan oleh semua kementerian negeri, jabatan dan badan berkanun.

“Selain itu untuk meningkatkan had kuasa Lembaga Tender Bahagian daripada RM500,000 kepada RM2 juta dan memulakan kajian mengenai e-Perolehan Negeri untuk melaksanakan sistem perolehan dalam talian,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dun di sini pada Jumaat.

Tegasnya, penting untuk Kerajaan Sarawak melaksanakan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas yang sangat diperlukan sekarang.

“Penyiapan projek-projek negeri akan menghasilkan kesan lebih besar kepada ekonomi tempatan termasuk menghasilkan lebih banyak pekerjaan dan peluang perniagaan.

“Usaha ini juga akan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar,” katanya lagi.

Ringkasnya, strategi serampang dua mata Bajet Sarawak 2021 fokus pada fasilitasi ekosistem perniagaan, meningkatkan perlindungan sosial, memajukan teknologi digital, mengubah pengeluaran pertanian, peningkatan dan penyesuaian semula modal insan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan negeri.

Suara Sarawak