ARTIKEL

Tindakan pantas diperlukan bagi pacu Forest City sebagai zon ekonomi khas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu mengambil tindakan pantas untuk memacu Forest City di sini, sebagai sebuah zon ekonomi khas, agar tidak ketinggalan berbanding negara-negara jiran yang turut menyasarkan untuk meraih manfaat sama.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Johor Selatan berkata negara-negara Asean seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, giat mengenal pasti lebih banyak pelaburan bagi kepentingan negara masing-masing.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu lebih tangkas dan menawarkan insentif untuk menarik pelaburan berpotensi besar, khususnya daripada kalangan individu kaya atau bernilai bersih amat tinggi.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah membangkitkan mengenai pemberian insentif dan melihat (pembangunan semula) di Forest City…oleh itu, ini perlu dilakukan dengan pantas.

“Ia akan turut mendorong sebarang pembangunan lain dan mempunyai kesan limpahan serta menyediakan peluang bagi kalangan usahawan PKS,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Teh berkata, sebelum ini, keseluruhan pembangunan Forest City telah dipolitikkan oleh pihak luar yang menyebabkan keengganan warga asing tampil melabur dalam apa dianggap sebagai ‘dasar flip-flop’ atau bertukar-tukar.

Projek Forest City yang melibatkan kawasan pembangunan berkeluasan lebih 2,832.79 hektar itu, telah dimulakan sejak 2015.

Dalam tempoh tujuh tahun, sebanyak 28,000 unit kediaman telah siap dengan fokus utama pembangunan tertumpu pada pulau buatan pertama seluas 566.55 hektar.

Selain kediaman, Forest City juga mempunyai masing-masing dua hotel, dua padang golf bertaraf antarabangsa, kilang prefabrikasi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia, selain sekolah antarabangsa Shattuck St Mary Forest City dan taman air.

Pada 25 Ogos lepas, Anwar mengumumkan zon kewangan khas akan diwujudkan di Forest City serta beberapa insentif sebagai usaha kerajaan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Johor dan kawasan sekitarnya

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Pengurusan Perniagaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Prof Madya Dr Maimunah Ali berkata pengumuman mengenai zon kewangan tersebut telah mengambil kira sinergi antara Singapura dan Johor, terutama Wilayah Iskandar.

“Ini bertujuan meningkatkan pelaburan asing dan merancakkan pembangunan ekonomi di kawasan Forest City yang dilihat sebagai dilanda perspektif negatif beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata limpahan ekonomi hasil daripada insentif tersebut juga dapat dilihat iaitu pertama, kos mengendalikan aktiviti ekonomi yang akan lebih murah secara relatif berbanding Singapura serta kawasan lain di Malaysia.

“Penurunan kos operasi (akan mendorong) pembangunan lebih banyak sektor ekonomi dan wujudnya lebih banyak peluang pekerjaan, terutama sektor yang memerlukan kemahiran tinggi.

“Kedua, insentif cukai sebanyak 15 peratus untuk pekerja mahir akan membuka sektor industri baharu di kawasan berkenaan seperti tenaga baharu dan pusat data,” katanya.

Maimunah berkata, ini ditambah pula dengan aspek infrastruktur di Forest City telah lengkap bagi menampung pertambahan penduduk dan pembangunan industri.

“Selain itu, kerajaan boleh juga memberi insentif lain kepada negeri Johor seperti dasar galakan industri baharu seperti teknologi tinggi dan tenaga baharu serta insentif untuk usaha inovasi baharu,” tambah beliau.

Beliau juga berkata sektor pelancongan, hartanah serta pendidikan dan kesihatan dijangka menjadi penerima manfaat terbesar dari pengumuman insentif tersebut.

Sementara itu, pemaju Country Garden Group, dalam kenyataan sebelum ini, berkata pengumuman insentif tersebut membuktikan keyakinan kerajaan terhadap projek Forest City yang dalam memainkan peranan bresama dengan kerajaan persekutuan dan negeri untuk merancakkan ekonomi negara.

“Forest City kini dalam fasa dua mengikut pelan tindakan pembangunan. Fokus kami di peringkat ini adalah untuk meneroka lebih banyak peluang pelaburan.

“Pengumuman Perdana Menteri diyakini akan memberi manfaat kepada ekonomi Johor dan wilayah secara keseluruhannya,” kata Naib Presiden Forest City Ir Syarul Izam Sarifudin dalam kenyataan itu. – BERNAMA

BERITA LAIN

Perodua pamer prototaip EV pertama di Malaysia Autoshow 2024

SERDANG, Selangor: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengorak langkah dalam pembangunan teknologi elektriknya dengan memperkenalkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya, Myvi Conversion. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk

BERITA TERBARU