Tindakan pantas penghuni selamatkan kediaman mereka

SARIKEI: Tindakan pantas penghuni menyelamatkan rumah panjang mereka daripada musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 10.40 malam itu hanya menyebabkan 10 peratus kerosakan dalam salah sebuah bilik tidur di tingkat atas Rumah Albert Biji di Jalan Selalang, Nyabor.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, pasukannya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.43 malam.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, api telah pun di padam oleh penduduk dengan menggunakan alat pemadam api mudah alih dan air.

“Bomba melakukan pemadaman susulan bagi mengelak kebakaran berulang. Operasi yang turut dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Saratok ini, tamat sepenuhnya pada jam 12.14 tengah malam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Rumah Panjang Albert yang mempunyai 19 pintu dihuni seramai 111 orang penduduk.

 

Suara Sarawak