Tindakan tegas sebar berita palsu

KUCHING: Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih mengenai penularan novel koronavirus (2019-nCoV) di Malaysia.

PDRM dan SKMM dalam kenyataan media bersama berkata, mereka akan mengambil serius akan perbuatan ini dan tidak akan bertoleransi kepada mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan ketakutan, panik, atau kegusaran kepada orang awam seterusnya menimbulkan kekecohan dan kemudaratan kepada kestabilan negara.

Pemantauan oleh PDRM dan SKMM mendapati media sosial dan pesanan dalam talian menjadi platform utama penularan berita palsu tentang novel koronavirus.

“Penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

“Pendakwaan juga boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” tegas kenyataan itu.

PDRM dan SKMM telah mengenal pasti empat individu untuk membantu siasatan penyebaran berita palsu berkaitan novel koronavirus.

Untuk itu orang awam digesa menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita mengenai novel koronavirus sebelum mempercayai atau menyebarnya terutamanya maklumat yang dikeluarkan oleh pihak selain dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Suara Sarawak