Tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang abaikan SOP

KUCHING: Tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang agensi yang mengabaikan SOP di tempat masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan, siasatan terperinci akan dilakukan ke atas agensi yang menunjukkan jangkitan Covid-19 secara mendadak dan tindakan tegas akan diambil.

“Contohnya di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Pusat Tahanan di Bukit Semuja dan Sri Aman yang menunjukkan jangkitan dalam kalangan penghuninya.

“Sekiranya siasatan mendapati pihak pengurusan mengabaikan SOP, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian pandemik Covid-19 di sini hari ini. Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah, sebelum ini pihaknya mendenda seorang guru besar di Miri kerana menganjurkan aktiviti gotong-royong.

“Jadi, kita tidak akan bertolak-ansur kepada sebarang agensi yang cuai termasuk Pulapol.

“Akibat kecuaian ini, angka positif Covid-19 di Sarawak meningkat,” tegasnya. Jelasnya, mesej itu harus disebarkan kepada masyarakat agar tidak mengambil mudah akan pematuhan SOP.

“Kita harus patuhi SOP dan tiada alasan untuk mengabaikannya,” ujarnya.

Suara Sarawak