Tindakan undang-undang terhadap Latheefa dan SPRM

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya. Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, tindakan diambil kerana SPRM dan Latheefa disifatkan menghina mahkamah.

Menurutnya, pendedahan rakaman audio daripada perbualan telefon didakwa suara Najib adalah subjudis. “Biasanya bila kita dapat bukti, kita akan buat laporan polis dan SPRM, kemudian buat siasatan secara sulit. “Paling teruk, beliau (Latheefa) yang berpengalaman dalam perundangan bersama agensinya mendedahkan bukti secara umum. Pada saya, ia adalah satu kesalahan yang serius,” katanya pada sidang akhbar di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Pagi semalam, SPRM membongkar audio konspirasi jenayah tertinggi melibatkan rakaman perbualan telefon tujuh individu termasuk bekas Perdana Menteri.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, rakaman berdurasi 45 minit itu diterima pihaknya beberapa hari lalu melibatkan salah guna kuasa, konspirasi, jenayah berhubung skandal mega SRC International, 1MDB serta beberapa kes lain.

Selain Najib, rakaman audio mengandungi percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Zulkifli Ahmad, Datin Seri  Rosmah Mansor dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan serta beberapa individu berkepentingan dalam dan luar negara.

Sementara itu Bernama melaporkan, SPRM semalam mendedahkan rakaman audio berhubung kebocoran maklumat didakwa daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Latheefa dalam sidang media yang penuh sesak, mengenal pasti individu yang mendedahkan maklumat AGC kepada Najib pada 2016 itu sebagai TPR Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada ketika itu yang dinaikkan pangkat pada Ogos tahun yang sama untuk menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Selain Najib dan Dzulkifli, beliau turut menamakan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa individu lain termasuk dua warga asing – seorang kerabat diraja dan seorang ketua eksekutif sebuah syarikat – daripada Timur Tengah sebagai individu yang dikatakan dan dirujuk dalam rakaman itu.

Menyatakan SPRM boleh mengesahkan ketulenan sembilan set rakaman audio berdurasi 45 minit itu, yang berlaku antara 5 Januari dan 29 Julai 2016.

Latheefa berkata, “Kandungannya mengejutkan; ia menyembunyikan dan subversif keadilan… demi kepentingan awam, kami mendedahkan kepada umum kandungannya.”

Mendedahkan SPRM menerima rakaman audio itu baru-baru ini, pada tahun baharu, ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata pejabatnya akan menyerahkan rakaman itu kepada pihak berkuasa relevan untuk memudahkan penyiasatan.

Suara Sarawak