Penggunaan bahasa Melayu dalam pertuturan seharian sepatutnya tidak asing di Malaysia.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia merupakan bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa Kebangsaan.
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan seharusnya digunakan sebagai bahasa rasmi dalam urusan rasmi di Malaysia.
Pada masa yang sama, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bebas menggunakan bahasa lain seperti bahasa Mandarin oleh masyarakat Cina dan bahasa Tamil oleh masyarakat India.
Pemerkasaan bahasa Inggeris juga diperlukan bagi kepentingan perdagangan dan perindustrian negara di peringkat antarabangsa.
Tertarik dengan video tular di TikTok apabila pasangan suami isteri seolah-olah mengajuk ibu bapa kepada generasi Alfa yang mencampurkan bahasa Melayu dan Inggeris untuk bertutur dengan anak mereka.
Video tersebut tular dan mendapat pelbagai reaksi warganet, ada yang suka dan ada yang mengecam kandungan video tersebut.
ADIK KEPADA GENERASI MANJA
Generasi Alfa dikategorikan sebagai mereka yang lahir pada 2010 hingga 2025.
Kita juga biasa melihat ibu bapa memberikan gajet kepada anak mereka bertujuan memujuk atau memastikan mereka “duduk diam”.
Justeru, anak lebih mendengar kandungan video yang biasanya berbahasa Inggeris dan memudahkan mereka faham akan bahasa tersebut.
Tidak hairan apabila kita melihat kebanyakan generasi ini lebih bertutur dalam bahasa Inggeris.
Jadi, bagaimana pengunaan bahasa Melayu nanti?
Adakah semakin dilupakan dan menjadi bahasa kedua sesetengah individu?
Penguasaan bahasa Melayu seharusnya menjadi keutamaan ibu bapa terhadap anak mereka.
Bagaimanapun, kesan penguasaan bahasa lain selain bahasa Melayu bagi golongan ini belum dilihat ketika ini kerana paling tua generasi Alfa baru Tingkatan 1 pada 2023.
LILY TULAR BEBAHASA MELAYU
Baru-baru ini, tular wanita warganegara Vietnam yang fasih berbahasa Melayu di TikTok.
Wanita ini dikenali sebagai Lily pernah tular suatu ketika dahulu ketika dia berumur 12 tahun kerana boleh berbahasa Melayu.
Dia berjaya menguasai bahasa Melayu serta empat bahasa lain dan hanya belajar di tepi jalan di Vietnam apabila bekerja sebagai penjual kraf di sana.
Ini bermakna, penggunaan sesuatu bahasa dalam kehidupan seharian diperlukan untuk kita fasih bahasa tersebut.
Seloroh warganet di ruangan komen; “bahasa Melayu Lily lebih baik daripada sesetengan pemegang kad pengenalan Malaysia”.
Faham bahasa Melayu dan menguasai bahasa Melayu perkara yang berbeza.
Ada sesetengah warganegara Malaysia gagal menguasai bahasa Melayu mungkin disebabkan jarang bertutur menggunakan bahasa tersebut dalam urusan seharian.
Bahasa Melayu juga terkenal sebagai bahasa yang menyampaikan makna secara berlapis-lapis.
Bahaya Melayu klasik sering menggunakan gaya pantun, seloka, gurindam, syair dan sebagainya dalam kehidupan seharian.
Sastera Melayu ini pada era moden mungkin kurang diminati. Era penghujung gen X dan awal gen Y, pengunaan sastera Melayu mendapat tempat dalam industri muzik dengan genre irama Melayu.
Kebanyakan lagu ini dipopularkan oleh Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris. Sebelum mereka, ramai lagi artis tempatan mengangkat irama Melayu.
Bagaimanapun, irama Melayu kelihatan menyerlah ketika Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris silih berganti bersaing dengan genre muzik tersebut seperti di pentas Anugerah Juara Lagu.
Justeru, keunikan bahasa Melayu sangat indah sekiranya didalami.
Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya malu sekiranya tidak mampu bertutur dengan baik menggunakan bahasa Melayu apatah lagi bagi mereka yang mengaku berbangsa Melayu.
